Dua tekong darat ditangkap, disyaki cuba seludup lima PATI di Lundu

Tekong darat dan PATI yang ditangkap dalam operasi tersebut

LUNDU, 19 Mac: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menangkap dua lelaki warga tempatan disyaki tekong darat dalam satu operasi di Kampung Raso, di sini semalam.

Komandernya SAC Mancha Ata berkata kedua-dua suspek berusia 25 tahun dan masing-masing berasal dari Saratok terbabit ditahan ketika cuba menyeludup masuk lima lelaki warga negara Indonesia.

Beliau memberitahu, tangkapan tersebut dilakukan sekitar jam 5.20
pagi.


“Hasil dari intipan kami telah menahan dua buah kereta yang dilihat mencurigakan dan didapati ia dipandu oleh dua lelaki warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat lima lelaki warga Indonesia dan hasil siasatan mendapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kesemua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terbabit berusia 25 hingga 33 tahun.

“Mereka dipercayai memasuki negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan (jalan tikus),” katanya.

Kedua-dua suspek bersama PATI terbabit kemudian dibaw ke Hospital
Lundu untuk ujian Swab COVID-19.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu hari ini, Sarawak mencatatkan 407 kes positif baharu COVID-19 dan 146 daripadanya adalah membabitkan kluster Depo Tahanan Imigresen Semuja, Serian.

Penambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 meningkat kepada 245 kes dan seramai 137 lagi individu masih menunggu keputusan ujian swab. – DayakDaily