Lori sarat muatan minuman keras ditahan di Kg Raso, Lundu

Anggota operasi memeriksa muatan lori tersebut.

Oleh Juetila Ozzy

LUNDU, 12 Mac: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas pelbagai jenis minuman keras yang disyaki tidak lulus cukai Kastam di sebuah ladang sawit di Kampung Raso, di sini hari Rabu lepas.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Mancha Ata anggotanya yang membuat rondaan ‘Op Benteng’ terserempak dengan sebuah lori yang dilihat mencurigakan sedang menghala ke arah sempadan Malaysia-Indonesia sekitar jam 5.30 petang.

Pasukan operasi kemudian bertindak menahan lori tersebut untuk pemeriksaan.

“Hasil daripada pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut didapati membawa minuman keras pelbagai jenama sebanyak 395 karton yang disyaki tidak lulus cukai,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ekoran itu, pemandu lori iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Kesemua minuman keras bersama lori yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM145,746 kemudian dirampas dan diserahkan kepada IPD Lundu untuk siasatan lanjut.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1) (D) Akta Kastam 1967,” katanya. -DayakDaily