Dua tahanan reman lolos dipercayai larikan diri ke kawasan Willow Villas dan The Garden

Gambar kedua-dua suspek yang masih diburu

KUCHING, 3 Julai: Operasi menjejaki dua tahanan reman yang dilaporkan lari dari Pusat Transit Penerimaan di Penjara Puncak Borneo dipercayai berada di Batu 11 Jalan Kuching-Serian iaitu antara kawasan perumahan Willow Villas dan The Garden.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata pihaknya menerima maklumat lokasi dua suspek terbabit pada jam 10.30 pagi.

Katanya, pihaknya terus mengerakkan satu operasi mengesan kedua-dua suspek diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong dibantu KBSJD Padawan ASP Joshua dan KBPJKK Padawan ASP Abd Wadi.


“Orang ramai di sekitar kawasan tersebut diminta berjaga-jaga sekiranya terdapat individu yang mencurigakan di kawasan perumahan anda.

“Maklumat boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi tersebut terdiri daripada sepasukan Polis IPD Padawan, Team ‘Tiger Platoon’ Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak, Unit K9 IPK Sarawak, Jabatan Penjara Puncak Borneo bersama Unit K9 Penjara Puncak Borneo dan lain-lain jabatan turut terlibat dalam pencarian tersebut.

Suspek yang masih bebas dikenali sebagai Mohamad Fikry Azzarudin Bin Abdullah, 26 tahun, berasal dari Sibu dan Rahmat Simbolan, 38 tahun, warganegara Indonesia.

Fikrry dilaporkan ditangkap berkaitan kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Rahmat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952. — DayakDaily