Wanita diberkas, disyaki jual tambah nilai judi dalam talian di Bau

Suspek wanita disiasat di lokasi serbuan.

BAU, 3 Julai: Seorang wanita disyaki menjalankan kegiatan menjual tambah nilai judi dalam talian ditangkap dalam ‘Ops Dadu’ di sebuah kedai makan di Pasar Bau.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek berusia 24 tahun itu berasal dari Kampung Rumih Jalan Opar, di sini.

Katanya, ketika serbuan dilakukan mendapati dia sedang menjalankan kegiatan tambah nilai judi dalam talian iaitu sekitar jam 12.15 tengah hari.


Pasukan serbuan kemudian bertindak menahannya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Turut dirampas daripada suspek ialah telefon bimbit dan wang tunai.

Siasatan lanjut polis masih dijalankan. — DayakDaily