Dua suspek kes samun kedai, larikan arak ditangkap

ACP Ahsmon Bajah

KUCHING, 24 Mac: Dua suspek samun, larikan dua botol minuman keras minuman keras jenama ‘Royol Likeur’ dan ‘R&B’ dari sebuah kedai runcit 24 jam di Jalan Sultan Tengah berjaya ditangkap semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kedua-dua lelaki terbabit yang masing-masing berusia 22 dan 25 tahun ditangkap kurang daripada 24 jam selepas melakukan kes samun tersebut.

Katanya, turut dirampas daripada suspek semasa ditangkap ialah telefon bimbit, wang tunai, topi keledar, dua botol minuman keras tersebut dan sehelai jacket.

“Hasil siasatan awal mendapati rampasan terhadap minuman keras tersebut adalah bertepatan dengan barangan yang dibawa lari dalam kejadian samun di sebuah kedai 24 jam di Jalan Sultan Tengah.

“Kejadian dilaporkan berlaku awal pagi semalam (23 Mac) dan mereka berjaya ditangkap lewat tengah hari pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebat.

“Kedua-dua suspek juga dipercayai giat melakukan samun di sekitar Kuching membabit kedai 24 jam.

“Seorang daripada suspek terbabit memiliki rekod jenayah lampau kes curi dan narkotik,” katanya.

Selain itu, mereka juga disahkan positif dadah jenis amphetamine.

“Polis kini sedang berusaha mengesan rakan sejenayah suspek yang masih bebas,” kata Ahsmon. — DayakDaily