Dua pelajar perempuan temui ajal, motosikal dilanggar Toyota Hilux

Supt. Alexson Naga Chabu

BINTULU, Mac 3: Malang menimpa dua pelajar perempuan apabila mereka maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan Toyota Hilux di jalan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu mengakibatkan dua mangsa yang dikenalpasti sebagai Farliorina Ija Ngalon, 17, dan Ivory Usun Jau, 16, meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum nahas, kedua-dua pelajar Tingkatan Lima dan Empat itu difahamkan sedang dalam perjalanan menuju ke SMK Baru Bintulu.

Namun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Hilux yang kebetulan bergerak di laluan berkenaan.

“Kesan perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badan mereka.

“Lelaki berusia 48 tahun yang memandu Toyota Hilux itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson menambah, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku akibat kecuaian penunggang motosikal tersebut.

Katanya, pemandu Toyota Hilux itu dikatakan gagal memberhentikan kenderaan apabila mangsa tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan.

“Mayat kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily