BINTULU, 12 Julai: Dua lelaki disahkan meninggal dunia manakala empat lagi individu cedera dalam nahas di Jalan Tabau-Bakun hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 10.27 pagi.
Ekoran itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba Bintulu terus ke lokasi kejadian dan melaporkan kemalangan tersebut membabitkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta dan sebuah pikap jenis pacuan empat roda (4WD).
“Dengan menggunakan konsep S.A.V.E.R, Bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tidak tersepit terlebih dahulu namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Setelah itu, pasukan Bomba mengeluarkan mangsa dari kenderaan 4WD yang dilaporkan trauma dan mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Mangsa yang meninggal dunia merupakan pemandu dan penumpang kereta dikenali sebagai Dexter Lim Ban Kee, 26 tahun dan seorang lelaki warga Indonesia.
“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Manakala mangsa-mangsa yang cedera (pemandu dan penumpang 4WD) dihantar ke Klinik Tabau untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 2.15 petang. — DayakDaily