Lelaki maut dalam kemalangan di Bau

Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit.

BAU, 6 Mac: Seorang lelaki meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Keranji, Batu Kitang-Bau semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.49 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah kereta yang bertembung dari arah bertentangan.

“Terdapat empat orang mangsa di dalam sebuah kereta Perodua Myvi dan seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu sebuah kereta Perodua Kelisa yang telah disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa tersepit dan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala empat mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Bau oleh unit EMRS Bomba,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.01 malam. — DayakDaily