Dua mangsa bot karam di Kapit, ditemukan mati

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

KAPIT, 31 Julai: Dua mangsa bot karam di jeram Pelagus, Sungai Rajang, di sini pada Jumaat (29 Julai) lepas ditemukan mati hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kedua-dua mangsa ditemui dalam operasi mencari menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini.

Katanya, mangsa pertama ditemui pada jam 5 pagi iaitu kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian.


“Mangsa pertama dijumpai oleh pekerja kapal muatan batu yang melalui lokasi tersebut.

“Manakala mangsa kedua dijumpai pada jam 3.30 petang iaitu kira-kira 1 kilometer dari lokasi kejadian oleh pasukan SAR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa telah disahkan dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Identiti kedua-dua mangsa dikenali sebagai Richelles Seli Lasu, 21 tahun dan Ngalang Demong,73 tahun.

Operasi SAR tamat sepenuhnya pada jam 5.50 petang.

Pada Jumaat lepas, kedua-dua mangsa dikatakan keluar menaiki sebuah bot dari Rumah Panjang Nanga Pelagus Kapit untuk menjala ikan iaitu sekitar jam 4.30 petang.

Bagaimanapun, bot dinaiki mereka dilihat karam semasa melintasi satu jeram di kawasan Pelagus. — DayakDaily