Dua rumah musnah dalam kebakaran di Tudan, Miri

Keadaan di lokasi kebakaran.

MIRI, 31 Julai: Dua buah rumah di Lorong Harmoni, Tudan, di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.48 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dan Miri dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran rumah seperti dilaporkan melibatkan dua buah rumah jenis tidak kekal.

“Kebakaran rumah pertama telah terbakar 100 peratus dan rumah kedua terbakar 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Turut hadir di lokasi kejadian anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan Sarawak Energy Berhad.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily