Dua lelaki, seorang wanita ditahan miliki dadah dan senapang angin

Gambar komposit menunjukkan dadah dan senapang angin yang dirampas polis.

SRI AMAN, Ogos 10: Dua lelaki dan seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dsla dalam satu serbuan di kawasan kebun sawit di Batu 35, Jalan Betong-Sri Aman, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abdul Latif, berkata dua lelaki yang ditahan itu masing-masing berusia 52 tahun, manakala wanita berkenaan pula berumur 27 tahun.

Menurutnya, kejayaan serbuan dan tangkapan itu adalah hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan oleh pasukan polis sebelum ini.


“Semasa serbuan dilakukan, pihak polis telah menemui beg silang warna coklat jenama Polo dan telah menjumpai satu plastik warna hitam yang berisi satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu di dalam beg tersebut.

“Pemeriksaan lanjut menemui 12 keratan straw berisi ketulan-ketulan kristal juga disyaki dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sahar menambah, berat kasar dadah yang dirampas ialah 10.9 gram dan nilai keseluruhan rampasan dadah itu ialah sebanyak RM3,052.

Dalam pada itu, Sahar berkata, serbuan sama turut menemui selaras senapang angin buatan sendiri bersama dua bungkusan biji guli disyaki digunakan sebagai peluru senapang angin tersebut.

“Polis kemudian menahan ketiga-tiga suspek, selain merampas dadah dan senapang berkenaan untuk tindakan selanjutnya. Saringan air kencing yang dilakukan ke atas ketiga-tiga suspek juga mendapati mereka amphetamine dan methamphetamine.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) dan akta sama,” ujarnya.

Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senapang angin buatan sendiri. — DayakDaily