Seorang lelaki maut, kereta terbabas di Jalan Sematan-Telok Melano

Keadaan kereta mangsa selepas terbabit dalam kemalangan tersebut.

LUNDU: Seorang lelaki meninggal dunia dalam kemalangan kendiri di Jalan Sematan-Telok Melano awal pagi tadi.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supritendan Alexson Naga Chabu berkata kejadian dilaporkan kira-kira jam 3.35 pagi dan mangsa berusia 26 tahun serta berasal dari kampung Paon, Jalan Lundu-Sematan.

Katanya, semasa kejadian mangsa dikatakan memandu di satu jalan yang lurus sebelum terbabas di sebelah kanan jalan.


“Semasa kejadian berlaku, dipercayai mangsa dalam perjalanan dari Jalan Sematan ke Kampung Paon untuk balik ke rumah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan Lundu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa telah di bawa ke Hospital Lundu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily