Dua ditangkap, disyaki cuba seleweng 18,700 liter diesel

Pasukan operasi memeriksa di dalam bangsal tersebut.

KUCHING, 13 Julai: Cubaan menyeleweng kira-kira 18,700 liter minyak diesel berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata PPM telah membuat serbuan ke atas sebuah bangsal di Pangkalan Baru sekitar jam 6 petang.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, didapati dua lelaki warga tempatan sedang sibuk membuat pemindahan minyak diesel dari tong plastik ke dalam lori tangki.


“Pasukan operasi kemudian mendekati kedua-dua suspek berusia 20 serta 32 tahun itu dan mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen sah memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan tersebut.

“Selain itu, mereka juga didapati gagal mengemukan sebarang permit atau kebenaran khas daripada KPDNHEP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

“Manakala sebuah lori, 1 unit pam, 20 tong plastik dan juga minyak diesel (18,700 liter) yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM294,900 dirampas.

“Tangkapan dan rampasan kemudian diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily