Lelaki maut, langgar ‘ekor’ treler ditinggalkan tepi jalan di Bintulu

Keadaan kenderaan mangsa dan ekor treler yang ditinggalkan di tepi jalan berkenaan.

BINTULU, 14 Julai: Seorang lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Kemena berdekatan Kilang Pre-C Sdn Bhd, di sini semalam.

Menurut Facebook PDRM Bintulu kemalangan berlaku sekitar jam 5.15 pagi ketika mangsa yang memandu sebuah Toyota Landcruiser telah melanggar ekor sebuah lori treler muatan bongkah simen.

Katanya, ekor lori treler tersebut dipercayai diletakkan di tepi jalan tersebut.


“Hasil siasatan awal, kejadian berlaku ketika mangsa yang dari arah Kemena hendak ke Pasar Bintulu telah merempuh ekor lori treler tersebut.

“Dalam kejadian ini, mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian dan disahkan oleh pegawai perubatan yang datang ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelasnya mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu ekor lori treler terbabit masih dalam usaha untuk pengesanan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil dan menghubungi pengawai penyiasat Inspektor Jeffery Jembol di talian 086-338575. ā€” DayakDaily