Oleh Brad Rantayy
MIRI, 22 Jan: Dua lelaki warga tempatan ditahan bersama 8.1645kg pelbagai jenis dadah bernilai RM 248,500 di sebuah rumah di Jalan Kin Link Garden Piasau dalam satu serbuan pada petang semalam.
Ketua polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 29 tahun itu ditahan dalam satu serbuan oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Miri (IPD) diketuai ASP Mingat Bakil pada jam 3.50 petang.
Ketika pemeriksaan di dalam rumah dua tingkat itu, polis menemui beberapa paket plastik lutsinar dan 40 papan kerajang berwarna merah disyaki berisi dadah, kata Hakemal pada sidang media di IPD Miri di sini hari ini.
Difahamkan, semasa serbuan, kedua-dua suspek tidak menyedari kehadiran pihak polis dan sedang duduk berehat di tingkat bawah rumah tersebut.
Antara barangan yang dirampas adalah Erimin 5 (40 papan kerajang timah berwarna merah anggaran berat 114.5gm; Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) atau lebih dikenali sebagai Ecstacy (130 paket anggaran berat 4,250gm) ;Methamphetamine (3 paket anggaran berat 2, 100gm) dan ketamine (2 paket plastik lutsinar anggaran berat 1,700 gm).
Selain dadah, polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios bernilai RM53,000.
Katanya, suspek ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua suspek juga didapati positif dadah semasa ujian saringan air kencing dilakukan ke atas mereka,” ujar Hakemal.
Jelasnya, pihak polis juga sedang menjalankan siasatan terperinci sama ada kedua-dua suspek ini terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Miri dan ke negara jiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily