9 suspek pergaduhan di Miri Times Square ditahan polis

ACP Hakemal Hawari ditemui selepas satu sidang media hari ini (22 Jan, 2021).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 22 Jan: Susulan tular sebuah rakaman video pergaduhan membabitkan sembilan lelaki termasuk seorang warga Korea Selatan pada malam Khamis di Miri Times Square, polis menahan kesemua suspek untuk siasatan lanjut.

Rakaman video selama 12 saat itu menjadi tular di media sosial sejak malam Khamis.

Mereka yang ditahan berusia antara 18, 19, 22, 23 dan 48 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, salah faham membabitkan kejadian jeling menjeling antara suspek dikenalpasti punca pergaduhan yang berlaku sekitar jam 8.10 malam itu (21 Januari).

Beliau berkata, kejadian bermula dari sebuah kedai minum di Miri Times Square apabila anak lelaki pemilik kedai tersebut telah menjeling salah seorang suspek yang berada di dalam premis berkenaan dan telah menyebabkan ketidakpuashatian kedua-dua pihak.

“Hal ini telah menyebabkan lelaki yang dijeling anak pemilik kedai telah datang ke arah meja makannya lalu menolaknya, rakan-rakan suspek yang lain telah mengikut bersama dengan mengepung anak pemilik kedai tadi lalu berlaku pergaduhan antara mereka tanpa menggunakan sebarang senjata,” ujar Hakemal ketika ditemui hari ini pada satu sidang media di IPD Miri.

Beliau menambah, anak pemilik kedai yang berusia 18 tahun tersebut selepas ditolak telah menghubungi bapanya yang berusia 48 tahun.

Semasa bapaknya datang ke tempat kejadian, beliau berang setelah melihat anaknya sedang dikepung oleh beberapa lelaki lalu dia bertindak mengambil sebilah pedang Samurai berukuran 99cm dari keretanya lalu pergi ke arah tempat kejadian.

Berlaku pergelutan antara bapak remaja terbabit dengan pihak kedua kerana dia hendak menyelamatkan anaknya.

Dalam kejadian, kedua-dua pihak masing-masing mengalami cedera ringan.

Kejadian dihentikan apabila beberapa orang polis bantuan Times Square tiba ke tempat kejadian.

Kedua-dua pihak telah menampilkan diri ke Balai Polis Sentral Miri untuk membuat laporan Polis.

Hasil siasatan mendapati tidak ada unsur gangsterism dalam kejadian ini.

“Bukan kesemua suspek terlibat dalam pergaduhan tetapi lebih kepada tolak-menolak dan terjatuh,” jelas Hakemal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan semjata Berbahaya 1958. — DayakDaily