Dua disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Sarikei

Pihak Bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa-mangsa.
Advertisement

SARIKEI, 16 Feb: Dua orang disahkan meninggal dunia dan seorang lagi cedera parah dalam kemalangan kendiri berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Paoh, Sarikei hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.45 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Setibanya di lokasi kemalangan, didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iswara dan terdapat tiga orang mangsa di mana dua berada di tempat duduk pemandu serta penumpang hadapan dan seorang lagi penumpang belakang.

“Pasukan operasi bertindak mengeluarkan kesemua mangsa dari dalam kenderaan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selepas kesemua mangsa dikeluarkan, pihak paramedik mengesahkan pemandu dan penumpang hadapan telah meninggal dunia.

Kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 63 tahun dan wanita berusia 54 tahun diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 20 tahun dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis. — DayakDaily

Advertisement