Dua diberkas disyaki ceroboh rumah kebun di Saeh dan melarikan buah kelapa sawit

Dua suspek ceroboh kebun di Saeh (berdiri tiga dan empat dari kanan) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 13 Sept: Dua lelaki tempatan akhirnya berjaya diberkas polis pada malam semalam kerana disyaki menceroboh dan melarikan buah sawit dari sebuah kebun di Jalan Sepupok Batu Niah lima bulan dahulu.

Penahanan kedua-dua suspek berusia 32 dan 17 tahun itu dilakukan sekitar jam 9 malam di perkarangan sebuah rumah panjang di Saeh.

Advertisement

Tangkapan dilakukan susulan laporan daripada pemilik kebun pada April lalu selepas terjumpa kedua-dua suspek sedang menceroboh masuk ke dalam rumah kebunnya.

Dalam kejadian, buah sawit yang telah ditombak di dalam kebunnya dengan anggaran berat 800kg turut dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan. — DayakDaily

Advertisement