Polis berkas suspek pecah cermin kereta larikan wang dan barang kemas

Kelihatan suspek diberkas polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 13 Sept: Kerana gian barangan terlarang, seorang lelaki sanggup memecahkan cermin sebuah kereta pancuan empat roda (4WD) dan melarikan barang kemas dan wang tunai bernilai lebih RM3,000 pada petang semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3 petang di tepi jalan berhampiran kebun kelapa sawit mangsa yang berusia 73 tahun.


Difahamkan, sebelum kejadian mangsa dan isterinya telah ke kebun tersebut, namun semasa melakukan kerja-kerja kebun, kedua-duanya dikejutkan dengan bunyi cermin pecah yang terlampau kuat.

Bimbang, mangsa telah berlari ke arah keretanya yang diparkirkan di tepi jalan dan terlihat seorang lelaki sedang memecahkan cermin keretanya sebelum melarikan diri bersama seutas rantas emas dan wang tunai sebanyak RM2,500 dari dalam kenderaan mangsa.

Mangsa cuba mengejar suspek, namun usahanya gagal.

Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian dan susulan itu.

Tangkapan dilakukan kurang 24 jam selepas kejadian di sebuah rumah burung di ladang sawit di Batu Niah.

SUspek berusia 31 tahun itu telah ditahan untuk tindakan lanjut.

Semasa tangkapan polis turut menemui seutas rantai emas dan wang tunai sebanyak RM420 daripada suspek dipercayai milik mangsa kejadian.

Baki wang dari RM2,500 yang dilaporkan hilang dalam kejadian dipercayai telah dibelanjakan suspek untuk membeli bekalan dadah.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily