“Keadaan masih terkawal” punca kes harian naik mendadak – PKR Sarawak

Abun Sui Anyit

KUCHING, 13 September: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa kerajaan agar tidak mengambil pendirian “keadaan masih terkawal” setelah angka kes jangkitan Covid-19 di negeri ini meningkat dengan mendadak.

Ketua Penerangannya Abun Sui Anyit berkata, jumlah 5,291 kes positif baharu Covid-19 yang direkodkan semalam (12 Sept) adalah satu jumlah yang sangat menggerunkan.

“Justeru, mengambil sikap ‘keadaan masih terkawal’ inilah yang menjadi punca sebenar kes baharu Covid-19 yang setiap hari meningkat naik.


“Ini juga menyebabkan ahli parti politik dari pihak Kerajaan bebas bergerak ke sana ke sini seolah-olah tidak ada Darurat sedang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abun juga berkata bahawa aktiviti politik dan berkempen oleh pihak parti Kerajaan mungkin menyumbang kepada penularan kes positif Covid-19 setiap hari.

Justeru katanya, kerajaan hendaklah meneliti setiap kes kerana sebarang kesilapan yang dilakukan akan mengundang keadaan panik dalam masyarakat.

“Ada wakil rakyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menghalang arahan berkurung walaupun terdapat kes positif Covid-19.

“Malah PKR memerhatikan terdapat notis larangan masuk ke rumah panjang tidak dihormati oleh wakil rakyat GPS dan rombongan mereka masuk sahaja ke kawasan rumah panjang tersebut,” ujar Abun lagi. — DayakDaily