Dua bot nelayan tempatan ditahan

lima kru lelaki warga Indonesia telah ditangkap oleh Maritim zon Miri semasa Operasi Khas Kuda Laut.

KUCHING, 21 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) negeri Sarawak telah menahan dua bot nelayan tempatan (BNT) kelas C dan C2 kerana disyaki melanggar syarat sah lesen di dua lokasi berbeza semalam.

Menurut pengarah Maritim negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus di dalam satu kenyataan media, tangkapan pertama bot nelayan kelas C oleh aset zon Maritim Bintulu pada kedudukan bawah 8.5 batu nautika daripada pantai, pada jam lebih kurang 11.07 pagi semalam.

Bot tersebut disyaki menangkap ikan dengan cara menunda di luar zon yang dibenarkan iaitu berhampiran dengan kawasan pantai di perairan Bintulu.


“Anggota penguatkuasa telah membuat pemeriksaan dan menahan tujuh kru terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga Indonesia. Kesemua mereka berusia lingkungan 15 hingga 59 tahun.

“Kesemua kru, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan ikan campur dengan anggaran 100 kilogram dibawa ke pusat tahanan vesel zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut,” kata Zin.

Manakala tangkapan kedua dilakukan oleh aset zon Maritim Miri yang sedang melaksanakan Operasi Khas Kuda Laut pada jarak lebih kurang 25.7 batu nautika dari Tanjung Batu, pada jam lebih kurang 4.20 petang semalam.

Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang dari 30 batu nautika dan telah melanggari syarat yang tertera di dalam lesen yang dimiliki.

“Seramai lima kru lelaki warga Indonesia termasuk tekong, berusia dalam lingkungan 23 hingga 42 tahun telah ditahan. Kesemua kru, bot dan peralatan menangkap ikan, serta hasil tangkapan 300 kilogram ikan campur ditahan dan diiring masuk ke jeti PTV zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen,” tambahnya lagi.

Beliau menegaskan agar komuniti maritim sentiasa menjaga keselamatan di laut dengan mengamalkan pemakaian jaket keselamatan dan memantau ramalan cuaca terkini sebelum turun ke laut.

Kerjasama daripada masyarakat terutamanya komuniti maritim dalam memberikan maklumat amat dialu-alukan bagi membantu Maritim Malaysia dalam membanteras jenayah di laut.—DayakDaily