Dua anggota polis, seorang penjawat awam diberkas kerana pemerasan, mengurung tukang masak

Datuk Dev Kumar

MIRI, April 20: Dua anggota polis serta seorang penjawat awam diberkas selepas disyaki terlibat dalam pemerasan dan mengurung seorang tukang masak di sebuah hotel di sini pada April 15 lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, dua anggota polis yang ditahan ialah Lans Koperal, berumur 39 tahun dan konstabel sokongan, berusia 34 tahun.

Katanya, kedua-dua suspek bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, manakala seorang suspek lagi penjawat awam Gred N11, berumur 37 tahun yang turut bertugas di IPD Miri.


“Tidak cukup dengan itu, ketiga-tiga suspek terbabit didapati positif syabu.

“Tangkapan itu dilakukan susulan laporan yang diterima daripada mangsa yang juga merupakan seorang tukang masak,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dev menambah, sebelum itu, pada April 15 lalu pada pukul 5.00 pagi, pengadu telah pergi ke belakang Stadium Miri untuk berjumpa dengan rakannya.

Katanya, apabila pengadu sampai di sana, dia telah ditahan oleh tiga lelaki yang memperkenalkan diri mereka sebagai polis.

“Pengadu telah diarah masuk ke dalam keretanya bersama suspek-suspek dan salah seorang dari mereka telah menunjukkan satu plastik yang mengandungi ketulan putih disyaki syabu.

“Suspek-suspek menuduh bahawa pengadu terlibat dalam pengedaran dadah dan telah meminta wang sebanyak RM10,000,” katanya lagi.

Tambah Dev, pengadu kemudian dibawa ke sebuah bank di Miri untuk mengambil duit melalui ATM.

Bagaimanapun katanya, akaun pengadu tidak ada wang yang mencukupi.

“Pengadu kemudian dibawa ke sebuah hotel di Miri dan dikurung dalam sebuah bilik.

“Setelah satu jam dikurung, pengadu telah memberitahu suspek-suspek bahawa ibunya boleh menyediakan wang dan meminta untuk dibawa balik ke rumahnya.

“Setelah sampai di rumahnya di Pujut, Miri, pengadu telah menghubungi polis melalui telefon untuk bantuan,” katanya.

Sambil menambah, apabila suspek-suspek mendapat tahu bahawa polis telah dihubungi, mereka telah melarikan diri.

Kesemua tiga suspek berjaya ditangkap pada April 17 lalu antara jam 12.30 tengahari dan 4.00 petang di IPD Miri. — DayakDaily