Polis Lawas selamatkan mangsa culik

Kelihatan dua suspek yang ditahan selepas disyaki menculik seorang lelaki.

LAWAS, April 20: Pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga emas yang disyaki diculik di sebuah kedai makan di sini kelmarin.

Lelaki berusia 63 tahun itu telah diculik oleh sekumpulan tujuh individu kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa dikatakan telah bertengkar dengan kumpulan suspek itu berhubung urusan pelaburan di kedai makan tersebut.


Katanya, kemuncak pertengkaran itu ialah mangsa telah diheret masuk ke dalam sebuah kenderaan sebelum mangsa dibawa lari.

“Hasil maklumat awam, pasukan polis kemudian melancarkan sekatan jalan raya bagi mengesan kumpulan suspek tersebut.

“Polis kemudian berjaya memberkas lima suspek yang berusia antara 30-an hingga 60-an selepas disyaki terlibat dalam kes penculikan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Dsp. Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan penahanan suspek-suspek berkenaan.

Katanya, kesemua suspek ditahan direman selama lima hari sehingga Isnin depan.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 7 tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya lagi.