Oleh Brad Rantayy
MIRI, 16 Mac: Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam cubaan mencuri buah kelapa sawit dari sebuah kebun di Bungai Sibuti pada Isnin (14 Mac) ditahan pihak polis susulan penemuan sebuah motorsikal miliknya di lokasi kejadian.
Suspek berusia 34 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Kampung Sulap Lada oleh sepasukan anggota dari Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Bekenu semalam sekitar jam 5.50 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan selepas pihak polis dimaklumkan mengenai penemuan mencurigakan longgokan buah kelapa sawit di dalam ladang tersebut.
Dipercayai suspek tidak sempat mengangkut buah sawit tersebut apabila terdengar bunyi kenderaan masuk ke arah ladang pada hari kejadian menyebabkan dia lari lintang pukang meninggalkan sebuah motorsikal miliknya di lokasi kejadian.
Suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Bekenu untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. — DayakDaily