Dadah methamphetamine dirampas, dua lelaki ditahan polis

Dadah jenis methamphetamine yang dirampas dalam serbuan malam Selasa (15 Mac 2022).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 16 Mac: Dua lelaki disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah dicekup polis dalam satu serbuan malam Selasa (15 Mac).

Tangkapan dilakukan sekitar jam 7.30 malam itu turut menemukan satu paket mengandungi dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 50.40 gram bernilai RM5,050.


Dua suspek warga tempatan berusia 25 dan 44 tahun itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, dadah tersebut ditemui disimpan di dalam satu paket plastik lutsinar.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Miri dan Marudi diketuai ASP Mingat Bakil dan Inspektor Asreen Mat.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut, polis menemukan satu bungkusan plastik hitam yang mana di dalamnya mengandungi satu paket plastik lutsinar,” ujarnya.

Hasil saringan awal air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah.

Dua suspek itu direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 16 Mac hingga 23 Mac.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika disabit kesalahan. — DayakDaily