KPDNHEP: Tiada DNA babi dalam sampel sotong ring sejuk beku

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 16 Mac: Jabatan Kimia Malaysia telah mengesahkan bahawa tiada DNA babi dikesan di dalam sampel sotong ring sejuk beku.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), sampel-sampel tersebut diambil dari produk di sekitar negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Johor Bharu.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini berikutan isu yang tular di media sosial berhubung sotong ring sejuk beku yang dikatakan mengandungi rektum babi.

“Ia bermula daripada satu tangkap layar yang ditularkan oleh seorang pengguna yang mendakwa bahawa sotong ring yang mengandungi rektum babi itu ditemuinya di sebuah premis di negeri Perlis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bertindak ke atas aduan yang tular itu tambah Nanta, Bahagian Penguat Kuasa telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas beberapa premis di peringkat peruncit, pemborong, pengedar dan pengimport produk terbabit di sekitar Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Johor Bahru.

Ujar beliau, beberapa produk ditemukan dan pihak KPDNHEP telah mengambil tindakan dengan menyita kesemua produk terbabit bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut.

“Sampel-sampel daripada produk terbabit telah dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan mengenalpasti sama ada produk terbabit mengandungi DNA babi atau sebaliknya.

“Susulan itu, melalui keputusan yang diterima daripada Jabatan Kimia Malaysia telah mengesahkan bahawa tiada DNA babi dikesan di dalam sampel terbabit,” tegas Nanta.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna agar berhati-hati di dalam menyebarkan maklumat terutama dalam media sosial termasuklah isu berkaitan halal kerana ia boleh mendatangkan kegusaran kepada orang ramai. — DayakDaily