Dihalau keluarga, Pak Zul beraya di pinggir hutan

Lo (dua dari kanan) melawat Pak Zul (kiri) yang tinggal bersendirian di tepi sungai berhampiran Jalan Stephen Yong setelah dihalau keluar dari rumah sejak dua tahun lepas.

KUCHING, Jun 13: Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba mungkin menjadi hari raya ketiga yang diraikan Zulkiple Pauzi, 63, dengan keseorangan di pinggir hutan.

Lebih mesra disapa sebagai Pak Zul, lelaki warga emas ini sudah tinggal bersendirian di tepi sungai berhampiran Jalan Stephen Yong sejak dua tahun lalu.

“Saya redha dengan nasib yang menimpa diri. Sudah dua Aidilfitri saya duduk di sini, syukurlah dan kehidupan di sini sudah cukup bagi saya untuk terus hidup,” katanya ketika ditemui di khemah kecilnya yang dibina untuk berteduh di tepi sungai itu.

Difahamkan, Pak Zul sebelum ini tinggal di Samariang bersama isteri dan anak-anaknya namun disebabkan perselisihan faham dengan keluarga, dia telah dihalau keluar pada dua tahun lalu.

Lebih memeritkan kehidupannya apabila dia dijadual menjalani pembedahan pada keretakan tulang paha yang dialaminya, di Hospital Umum Sarawak pada Jun 24 ini.

Kecederaan itu juga membuatkannya terpaksa bergantung dengan sokongan tongkat untuk bergerak dan menjalani kehidupan sehariannya.

Nasib yang menimpa Pak Zul itu akhirnya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang yang datang melawatnya baru-baru ini.

Semasa lawatannya itu, Lo turut menghulurkan bantuan makanan dan keperluan lain kepada Pak Zul bagi meringankan beban hidupnya.

Malah, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) itu turut berjanji akan memberikan sokongan kepadanya ketika menjalani pembedahan di hospital kelak.

“Semoga Pak Zul selamat dan sentiasa sihat,” kata Lo yang tersentuh hati melihat nasib yang menimpa warga emas malang itu. — DayakDaily