FAMA S’wak: Bekalan barangan makanan mencukupi untuk menyambut Hari Raya

Orang ramai yang membeli barangan makanan di Medan Niaga Satok hari ini bagi menyambut Aidilfitri.

KUCHING, Jun 12: Bekalan pelbagai barangan makanan bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang dijangka akan terus mencukupi bagi keperluan penduduk bandaraya ini.

Tinjauan pagi ini di Medan Niaga Satok yang menjadi pasar pilihan utama warga bandaraya membeli belah barangan makanan mendapati kebanyakkan gerai disana masih menjual bekalan barangan makanan samada sayuran, ikan, buahan cukup banyak walaupun tarikh perayaan Hari Raya Aidilfitri semakin dekat.

Antara yang jelas masih banyak di jual peniaga di pasar itu ialah daging lembu segar dan ayam diproses dengan orang ramai juga kelihatan tidak berebut membelinya atau dalam kuantiti yang banyak walaupun daging dan ayam biasanya menjadi hidangan utama disajikan mereka ketika perayaan itu.


Orang ramai yang beratur panjang bagi membeli santan kelapa di salah satu gerai Medan Niaga Satok hari ini.

Bagaimanapun ketika ini yang paling mendapat sambutan di pasar itu ialah santan kelapa dengan orang ramai sehingga beratur panjang di gerai menjual santan kelapa sejak awal pagi sehingga peniaga terpaksa berkerja keras memerah santan kelapa dengan pantas bagi memenuhi permintaan dari orang ramai.

Bagaimanapun bekalan buah kelapa yang didapati masih banyak bertimbun diluar gerai terbabit malahan pekerja gerai juga terus memunggah lebih banyak bekalan buah itu yang dibawa mengunakan lori.

Tinjauan juga mendapati banyak peniaga di pasar itu semakin banyak menjual anyaman ketupat dan daun pokok kelapa bagi menghasilkan anyaman terbabit kepada pelanggan dan semakin laris dijual disamping juga menjual batang buluh bagi memasak lemang.

Antara peniaga yang menjual anyaman ketupat dengan menjelangnya Aidilfitri, di Medan Niaga Satok, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sarawak, Shahid Abu Bakar memberi jaminan yang barangan makanan keperluan bagi menyambut Aidilfitri akan mencukupi bagi penduduk bandaraya ini.

“Mencukupi, saya juga sudah memeriksa tadi dan mendapati mereka (peniaga Medan Niaga Satok) akan terus menambah bekalan mereka supaya sentiasa mencukupi,”katanya selepas melancarkan program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri 2018 di Medan Niaga Satok, hari ini. — DayakDaily