Data pemetaan OSC asas rangka dasar tangani isu penyalahgunaan dadah & substan

Datuk Sri Fatimah Abdullah

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 14 Okt.: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak akan merangka dasar, membangun program dan melaksanakan intervensi yang bersasar bagi menangani isu penyalahgunaan dadah dan substan di Sarawak mulai tahun 2020. Ini berdasarkan Data daripada pemetaan yang dilaksanakan oleh Pusat Pusat Sehenti (OSC) bagi menangani isu dadah dan substan (MIDS) bagi 2018 hingga 2019.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, pemetaan tersebut dihasilkan bagi menunjukkan risiko kerentanan serta kekerapan isu penyalahgunaan dadah dan substan mengikut daerah di Sarawak.


“Melalui pemetaan tersebut kita mendapati tidak ada daerah yang bebas aktiviti penyalahgunaan dadah dan substan sepanjang dua tahun tersebut dengan 15 buah daerah yang berisiko tinggi; 15 buah daerah berisiko sederhana; 9 buah daerah yang berisiko rendah; dan 1 daerah yang rentan,” katanya pada sidang media Laporan Berkala Bulanan Jawatankuasa Sehenti (OSC) bagi menangani isu dadah dan substan di Sarawak bagi September 2020 di sini hari ini.

Katanya, pemetaan tersebut dihasilkan melalui data dan menetapkan quantum kes aktiviti dan kesan penyalahgunaan dadah dan substance seperti yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri, OSC MIDS Daerah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum terlibat.

Sementara itu, Fatimah berkata, sepanjang bulan September, bilangan kes berkaitan isu penyalahgunaan dadah dan substan yang direkodkan di Sarawak pada bulan September menunjukkan sedikit penurunan berbanding tempoh sama sepanjang bulan Ogos.

Katanya sepanjang September lalu sejumlah 1,087 kes yang melibatkan 1,064 tangkapan direkodkan berbanding 1,267 kes dengan 1,359 tangkapan sebelumnya, penurunan sebanyak 17.97 peratus.

“Kesemua kes tersebut adalah daripada 847 operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), AADK dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah berbentuk serbuk berjumlah 37.9kg manakala 271 biji lagi dalam bentuk pil yang dianggarkan bernilai RM2,638,514.80.

“Secara purata, jumlah rampasan ini mampu mengurangkan sebanyak 94,817 kali penggunaan oleh 47,408 individu bagi tempoh sebulan,”katanya

Tambah Fatimah, isu penyalahgunaan dadah dan substan ini perlu ditangani sebaiknya dengan mengambil impak jangka panjang kepada kesejahteraan komuniti.

Katanya, fokus untuk menangani masalah tersebut bukan sahaja kepada mereka yang terlibat dalam menyalah gunakan dadah dan substan sebaliknya usahasama turut diperhebat dalam memutuskan rangkaian bekalan kepada barang terlarang tersebut.

Masyarakat dalam pada itu, tegasnya diseru untuk sentiasa berganding bahu serta bekerjasama dengan agensi berkaitan dan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan substan di Sarawak.

Mengulas mengenai operasi bersepadu OSC bagi isu dadah dan substance peringkat daerah, Fatimah berkata sebanyak 13 siri program telah dilaksanakan di Sarawak sepanjang bulan September lalu.

“Daripada jumlah tersebut, satu program adalah intervensi berbentuk penguatkuasaan bersepadu manakala 12 program intervensi bukan penguatkuasaan iaitu tujuh program dalam komuniti dan lima program di tempat kerja,” katanya. -DayakDaily