Dapatkan Upa Pantu sambil menikmati Mee Udang Galah di Pekan Jakar

Rani (dua dari kiri) menunjukan upa Pantu yang terdapat di gerai beliau di Gerai Penjaja Jakar.

Oleh Chris Bishop

JAKAR, 6 Julai: Penggemar upa Pantu seharusnya tidak melepaskan peluang mengunjungi Gerai Penjaja Jakar bagi mendapatkan makanan popular etnik Iban ini.

Gerai Rani anak Bugeh yang beroperasi sejak lima tahun dahulu menjual beberapa saiz upa Pantu dengan harga sekitar RM25 hingga RM35 sebatang.

Menurut Rani, bekalan upa atau umbut ini dibawa penduduk dari Daerah Kecil Pakan dua kali seminggu untuk dijual di gerai beliau yang terletak di tepi jalan utama Jakar-Sarikei.

“Di sini, pada setiap masa saya menjual lebih kurang 15 batang keratan upa Pantu dengan pelbagai saiz dan ada yang sebesar batang pisang.

“Ia adalah makanan utama masyarakat Iban khususnya di musim perayaan atau acara perkahwinan.

“Kebanyakan pembeli adalah pengguna jalan raya yang turut singgah di Pekan Jakar untuk menikmati mee udang galah yang popular di sini.

“Maka, sambil anda menikmati mee udang galah yang enak, datanglah membeli upa di gerai saya,” kata ketika ditemui DayakDaily semalam.

Tambah beliau yang berasal dari Kerubong di Sarikei, upa Pantu ini sesuai dimasak bersama salai ikan (lumi), gulai ayam tua serta masak lemak mengikut kepakaran masing-masing.

Seorang pengunjung sanggup memandu dari Sibu untuk menikmati Mee Udang Galah di salah sebuah restoran di Pekan Jakar.

Selain menjual umbut tersebut, Rani yang selesa berniaga di gerai tersebut juga menjual pelbagai sayuran, buah-buahan dan produk tempatan termasuk belacan Bintulu.

Menurut beliau lagi, kini hasil jualan lebih kurang 20 orang peniaga di Gerai Penjaja Jakar telah meningkat setelah dua tahun terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Namun katanya, dalam tempoh setahun lagi jalan utama (kini) Jakar-Sarikei ini akan lengang berikutan siapnya jalan baharu Pan Borneo yang dibina di belakang pekan tersebut.

“Oleh itu, kita memohon agar kerajaan mempertimbangkan untuk menyediakan kawasan dan gerai kepada kami untuk berniaga di sepanjang jalan baharu Pan Borneo itu nanti.

“Ada setahun lagi untuk kami berniaga di sini, tahun 2023 nanti jalan baharu akan siap,” kata Rani. — DayakDaily