MIRI, 27 Mac: Dadah seberat 52 gram jenis methampetamine ditemui dari seorang lelaki warga Indonesia selepas ditahan anggota polis bantuan ladang Bintulu Lumber Development (BLD) pada petang semalam.
Suspek berusia 45 tahun itu kemudiannya diserahkan kepada polis Miri dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sekitar jam 12.45 pagi ini (27 Mac) untuk tindakan lanjut.
Difahamkan suspek telah ditahan sekitar jam 5.40 petang Jumaat (26 Mac) oleh anggota polis bantuan ladang yang melakukan rondaan di jalan tikus di dalam ladang berkenaan.
Suspek berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan tersebut yang membawa kepada penahanannya.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, nilai dadah yang dirampas adalah sebanyak RM5,200.
Sebanyak 141 keratan tiub straw dirampas dari suspek semasa tangkapan dilakukan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati. — DayakDaily