7 ahli ‘Geng Dolphin Boy” dicekup polis Miri dalam Op Cantas

Suspek tiba di perkarangan komplek Mahkamah Miri untuk permohonan reman.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 27 Mac: Tujuh ahli kumpulan samseng ‘Geng Dolphin Boy” telah dicekup polis dalam Operasi Cantas hari ini (27 Mac) kerana disyaki sering terlibat dengan pergaduhan di pusat-pusat hiburan di sekitar bandaraya ini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, Ops Cantas yang dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri di sekitar daerah ini telah membawa kepada penangkapan tujuh lelaki tempatan berusia antara 20 ke 40 tahun yang dipercayai merupakan ahli kumpulan “Geng Dolphin Boy” .


Penahanan kesemua suspek dilakukan sekitar jam 6 hingga 7 pagi tadi (Sabtu).

“Ahli kumpulan ini dianggotai oleh warga tempatan berketurunan Cina dan Iban dan dari maklumat yang diperolehi, kumpulan ini diketuai oleh satu lelaki Cina tempatan berumur lingkungan 35 tahun dan mula aktif sejak tahun 2018,” ujar Hakemal.

Menurutnya, ahli “Geng Dolphin Boy” tidak mempunyai sebarang tanda nama atau simbol yang khas dan kebanyakan ahli di dalam kumpulan dipercayai bekerja sebagai penarik kereta dan sering melakukan kekecohan serta kekerasan di sekitar Bandaraya Miri.

Mereka dipercayai sering terlibat dengan pergaduhan di pusat hiburan di mana ahli kumpulan ini sering bertindak agresif dengan mencederakan mangsa menggunakan senjata tajam atau kayu belantan, katanya.

Anggota polis dari IPK Sarawak membawa kesemua suspek ke komplek Mahkamah Miri.

Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan rusuhan dengan menggunakan senjata, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja melakukan cedera dengan menggunakan senjata merbahaya.

Selain daripada itu, Akta Pencegahan Jenayah 1959 [Akta 297] (POCA) boleh juga diambil ke atas mereka yang terlibat dalam aktiviti jenayah kekerasan, jelas Hakemal.

Justeru itu, pihak polis mengingatkan masyarakat agar tidak melakukan sebarang bentuk jenayah kekerasan.

“PDRM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat di dalam aktiviti gengsterism serta tindakan tegas akan diambil ke atas semua pihak yang terlibat,” ujar Hakemal. — DayakDaily