KUCHING, 27 Dis: Penguatkuasaan Pindaan Akta Kerja 1955 yang sebelum ini ditangguhkan, akan tetap diteruskan mulai 1 Januari tahun depan.
Memetik laporan Berita Harian, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, berkata pihaknya harus meneruskan penguatkuasaan akta terbabit kerana undang-undang itu sudah diluluskan Parlimen.
“Perkara ini harus kita teruskan sebab undang-undang ini sudahpun diluluskan Parlimen dan sebahagian besar pindaan yang dibuat adalah berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
“Jadi perkara ini adalah penting untuk kita laksanakan, ini adalah jaminan kepada pekerja,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pelaksanaan akta itu perlu ditangguhkan hingga 1 Jan 2024 bagi memberi lebih masa kepada pihak industri dan majikan.
Pindaan Akta Kerja 1955 sepatutnya mula berkuat kuasa 1 Sept lalu, namun ditangguhkan ke 1 Januari ini selepas pihak industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor termasuk memerlukan sedikit masa berikutan kebanyakannya masih dalam proses pemulihan ekonomi.
Antara kandungan pindaan yang ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.
Selain itu, pindaan Akta Kerja 1955 ini juga mewajibkan keperluan mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia ( JTKSM) di bawah Seksyen 60K (4) Akta Kerja 1955.
Kelulusan penggajian ini untuk penggajian semua kategori pekerja asing di negara ini. Kewajaran untuk majikan mendapatkan kelulusan daripada Ketua Pengarah JTKSM adalah kerana permohonan yang ditolak sebelum ini susulan kegagalan majikan mematuhi undang-undang perburuhan.
Seksyen 60K(4) Akta Kerja 1955 akan bertindak sebagai saringan awal yang efektif di dalam memastikan majikan yang bakal menggajikan pekerja asing di negara ini mempunyai rekod yang bersih dari aspek kepatuhan kepada standard perburuhan.
“Setakat ini kementerian sudah meluluskan kemasukan 700,000 pekerja untuk pelbagai sektor,” katanya mengulas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya KSM dan Kementerian Dalam Negeri memberi perhatian khusus kepada isu kelulusan membawa masuk pekerja asing dalam sektor perladangan, perkhidmatan dan pembinaan. — DayakDaily