Pelaksanaan gaji minimum majikan kurang 5 pekerja ditangguh hingga 1 Julai 2023

V Sivakumar. Photo credit: V Sivakumar's Twitter

KUCHING, 27 Dis: Pelaksanaan Gaji Minimum (PGM) RM1,500 bagi kategori majikan yang menggajikan kurang dari lima orang pekerja ditangguh sehingga 1 Julai 2023.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata, keputusan dibuat setelah mengambil kira kesediaan kategori majikan terlibat.

“Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan Gaji Minimum RM1,500 dari 1 Januari 2023 kepada 1 Julai 2023 di bawah kategori ini.

“Keputusan ini dibuat setelah Kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sivakumar, penangguhan tambahan selama enam bulan ini juga diharap dapat memberikan peluang untuk menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan.

Ia sedikit sebanyak diharap akan membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat-syarikat yang menggajikan kurang dan lima orang pekerja.

Sivakumar menegaskan bahawa majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan tanpa mengira jumlah pekerja, majikan yang menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia masih perlu meneruskan pembayaran gaji minimum sebanyak RM1,500 bermula pada 1 Mei 2022.

“Justeru itu, majikan yang tidak terlibat dengan penangguhan ini hendaklah terus mematuhi pelaksanaan PGM dengan membayar gaji minimum RM 1,500 sebulan kepada pekerja,” katanya. — DayakDaily