CUEPACS Sarawak harap Belanjawan 2022 tidak menghampakan

Omar Bahrein Unin

KUCHING, 26 Okt: Menjelang pembentangan Belanjawan 2022 Jumaat ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak berharap ia tidak akan menghampakan penjawat awam.

Menurut Pengerusinya Omar Bahrein Unin, beberapa permohonan dan tuntutan telah dihantar untuk dipertimbangkan oleh kerajaan sebelum ini.

Katanya, antara tuntutan ialah penjawat awam di Sarawak turut diberi tambahan elaun RM50 sebulan bagi kos sara hidup seperti yang dinikmati penjawat awam di Semenanjung Malaysia sejak bulan Januari 2020.

“Ini bagi menunjukkan kebersamaan di antara penjawat awam di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

“Kita juga memohon bayaran insentif wilayah bagi penjawat awam ditambah baik mengikut keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Omar, tuntutan oleh CUEPACS adalah wajar untuk dilaksanakan kerajaan kerana kebanyakannya telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

Namun katanya, ia belum direalisasikan kerana terdapat perubahan kerajaan pada masa itu dan ada yang telah tertangguh sejak 2018.

“Jika perkara ini dilaksanakan, CUEPACS percaya ia akan membantu semua penjawat awam dalam menangani kos kehidupan yang tinggi masa kini.

“Ia juga sebagai galakkan kepada penjawat awam untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produktiviti.

“Dengan peningkatan pendapatan penjawat awam, ia boleh membantu kerajaan dalam sosio ekonomi kerana kuasa beli bertambah dan akan memanfaat para peniaga,” ujar beliau. — DayakDaily