Kerajaan belanja RM1 bilion bagi 47 projek bekalan air di Bintulu

Dr Rundi(empat dari kanan) pada lawatan kerja ke Projek Bekalan Air Bahagian Bintulu pada Isnin.

KUCHING, 26 Okt: Kerajaan menyediakan RM1 bilion bagi 47 projek bekalan air yang telah dan akan dilaksanakan di Bahagian Bintulu.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata kebanyakan projek dilaksanakan di kawasan Perindustrian Kidurong dan Samalaju.

Katanya, ia dilaksanakan melalui pihak LAKU dengan kerjasama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak berikutan permintaan yang tinggi di kawasan tersebut.


“Perancangan yang teliti perlu dibuat bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan ke semua tempat.

“Kita juga perlu menghadapi pelbagai isu yang timbul berkenaan dengan ketiadaan bekalan air dengan menyediakan rancangan intervensi segera,” katanya pada lawatan kerja ke Projek Bekalan Air Bahagian Bintulu pada Isnin.

Tambah Rundi, sebanyak 21 daripada 26 buah projek rakyat di Bintulu telah siap dilaksanakan.

Turut hadir dalam lawatan tersebut Menteri Muda Utiliti Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Sarawak Dato Ir. Alice Jawan. — DayakDaily