Cuepacs gesa kerajaan Sarawak guna sistem ‘time-based’ kenaikan kali kedua

Azih (duduk tiga kiri) bercakap kepada pemberita.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Sept: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu kepada kerajaan negeri Sarawak memberi kenaikan pangkat kepada penjawat awam biasa berasaskan sistem ‘time based’, kenaikan kali kedua.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia telah menggunapakai sistem tersebut kecuali Sarawak.


“Cuepacs merayu kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menggunapakai pekeliling mengenai sistem ‘time-based’ kenaikan kali yang kedua,” katanya.

Azih berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Perwakilan TriTahunan 2016-2019 Cuepacs Sarawak, di sini, hari ini.

Sistem diperkenalkan supaya mengkaji semula kenaikan pangkat kumpulan pelaksana berasaskan tempoh perkhidmatan (time-based) daripada 13 tahun kepada 10 tahun untuk kali pertama dan lapan tahun bagi kenaikan kali kedua, katanya.

Selain itu, Azih percaya sistem tersebut akan memberi peluang kebajikan kepada anggota-anggota kerajaan negeri Sarawak dan implikasi kewangan pada kerajaan tidak besar.

“Cuepacs yakin ekonomi Sarawak akan lebih makmur dan kuasa membeli rakyat akan terus meningkat. Mungkin indek keharmonian hidup dikalangan penjawat-penjawat awam juga akan meningkat,” katanya.

Kumpulan pelaksana yang medapat manfaat dari sistem ini merangkumi kakitangan Gred 11 hingga 29, yang akan menikmati kenaikan lebih cepat berbanding sekarang.

Mengulas isu lain, Cuepacs kata Azih menyambut baik perlaksanaan penggunaan kamera badan pada pegawai penguatkuasa seperti polis, kastam, imigresen dan sebagainya.

Tegas Azih, perlaksanaan itu bukan sahaja membantu menangani kes salah laku pegawai pegawai kerajaan, tetapi memberi jaminan kepada mereka.

“Cuepacs lihat perkara ini sesuatu yang positif bukan sahaja dari sudut nak kesan salah laku rasuah, tetapi selebihnya adalah jaminan kepada anggota-anggota penguatkuasa.

“Mungkin selama ini ada anggota-anggota yang teraniaya, contohnya didakwa menyeksa banduan dalam penjara, yang sebenarnya banduan tersebut memang sakit,” kata Azih.

Pada 19 September lepas, Perdana Menteri Tun Dr mahathir Mohamad memaklumkan yang kerajaan telah bersetuju melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguatkuasa.

Bagaimanapun, tarikh perlaksanaan belum diputuskan memandangkan ia melibatkan kos kepada kerajaan. — DayakDaily