Cubaan seleweng diesel bersubsidi di Miri tumpas, rampasan bernilai RM210k

Kenderaan yang telah diubah sesuai bagi tujuan penyelewengan diesel bersubsidi.

KUCHING, 4 Okt: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal dan Hal Ehwal (KPDNHEP) berjaya menumpaskan cubaan penyelewengan diesel bersubsidi di Morsjaya, Miri dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM210,639.95.

Turut ditahan 5 lelaki warga tempatan berusia 19 sehingga 50 tahun bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Cawangan KPDNHEP Miri Joe Azmi Jamil, tangkapan dilakukan menerusi OPS Bersepadu bersama Pasukan Batalion 12 PGA Miri.


“Dalam serbuan tersebut, 4 buah kenderaan pacuan empat roda yang telah diubahsuai dengan tangki tambahan yang diletakkan pada ruang belakang kenderaan telah ditahan.

“Semua kenderaan itu disyaki digunakan untuk tujuan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

“Tangkapan dilakukan sekitar jam 10.30 pagi pada 3 Okt 2022,” kata Joe dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kelima-lima yang ditahan gagal untuk mengemukakan permit khas dari KPDNHEP untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

Barangan yang disita merupakan 4 buah kenderaan pacuan empat roda bernilai RM207,000 termasuk 3 pam elektrik, 4 tangki tambahan dan 1,693 liter diesel bernilai RM3,639.95.

Ujar Joe, Stesen Minyak terbabit telah digantung operasinya serta merta sehingga siasatan kes selesai.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu diesel bersubsidi tanpa kebenaran Pengawal dan dibaca bersama seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Siasatan ke atas stesen juga sedang dilakukan dibawah Peraturan 21 PPKB 1974 sama ada melanggar syarat khas lesen,” katanya. — DayakDaily