Cubaan 19 warga Indonesia lolos diri di LTAK gagal

Dokumen yang dipercayai endosmen dipalsukan.

KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak berjaya menahan seramai 19 warganegara Indonesia yang cuba meloloskan diri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) awal pagi semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Sarawak, Ken Leben berkata, semalam pada jam 9.15 pagi, pihak Air Asia dibalai berlepas di Gate 4 telah memaklumkan pihak Imigresen mengenai keraguan Boarding Pass mereka yang hendak menaiki pesawat AK 5203 ke Kuala Lumpur.

“Pegawai bertugas, Frankie Edwin telah merujuk perkara tersebut kepada Ketua Kumpulan yang bertugas, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen(TPPI) Muhammad Shairazi Nawawee serta untuk tindakan selanjutnya.


“Shairazi kemudian mengarahkan PIK Frankie Edwin untuk ke Gate 4 bagi membuat pemantauan bersama beberapa pegawai,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, setelah diperiksa, didapati endosmen di dalam kesemua boarding pass serta dokumen perjalanan mereka amat meragukan ketulenannya.

“Ke semua warga asing ini yang terdiri daripada tujuh wanita serta 12 lelaki warganegara Indonesia telah dibawa ke pejabat Imigresen LTAK untuk pemeriksaan selanjutnya,” katanya.

Warganegara Indonesia yang ditahan di LTAK oleh pihak Imigresen.

Katanya,maklumat awal yang diperoleh daripada salah seorang suspek, mereka telah membayar 7,500 rupiah kepada seorang agen yang juga warga Indonesia untuk menguruskan semua proses dokumen tersebut dan didalangi agen tempatan.

“Kita memandang serius isu pemalsuan cop keselamatan dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat dalam sindiket tersebut,” tegasnya.

Kesemua suspek yang ditahan akan dihantar ke depo Tahanan Imigresen Semuja bagi tindakan siasatan lanjut bahagian penguatkuasa Imigresen Kuching.