Pemimpin akar umbi perlu bantu wakil rakyat kenal pasti penduduk yang perlukan bantuan

Datuk Seri Nancy Shukri (berdiri tiga kiri) bergambar bersama penerima MRP Sadong Jaya.

SADONG JAYA: Pemimpin akar umbi dalam kawasan Parlimen Batang Sadong diminta membantu wakil rakyat mengenal pasti penduduk yang memerlukan bantuan bagi membolehkan golongan itu diberi bantuan segera.

Mengambil contoh Program Ziarah Kamek yang telah diadakan di kawasan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, program yang melibatkan agensi lain seperti Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan/ Klinik Kesihatan Sadong Jaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan amat efektif kerana penduduk yang didapati memerlukan rawatan kesihatan mendapat nasihat kesihatan terus daripada pegawai yang ikut serta turun padang bersama-sama beliau.

“Oleh itu, kita meminta pemimpin akar umbi membantu peduduk yang benar-benar memerlukan perhatian di kawasan ini itu dikenalpasti agar senarai sedia ada dapat turut dikemaskini,” katanya di Majlis Penyampaian Cek Dana untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan di Daerah Kecil Sadong Jaya.


Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, kerjasama itu penting agar apa jua rancangan pembangunan Batang Sadong berjalan lancar kerana masalah yang dihadapi penduduk dapat diselesaikan dalam masa yang singkat dan tidak berpanjangan.

Pada majlis itu sebanyak enam NGO dan pertubuhan menerima peruntukkan masing-masing dengan jumlah keseluruhan RM100,000 bagi menjalankan beberapa projek di Sadong Jaya termasuk membekalkan peralatan bagi dewan Kampung Semera Cina, peralatan bagi Pusat Warga Emas serta Pesta Sadong Jaya.