Craun berharap menjadikan Sarawak sisa sifar dalam industri pemprosesan kanji sagu

Zaidell (kiri) menunjukkan pelbagai produk keluaran CRAUN kepada Ketua Menteri sebelum upacara MoU di antara CROUN dan KISS di sebuah hotel di Kuching hari ini. Turut kelihatan ialah Menteri Pendidikan, Sains and Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong (kiri) dan Menteri Muda Pendidikan, Sains and Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaiee (dua kanan).

Oleh Peter Sibon

KUCHING, 19 Okt: Selain meraih hasil sebanyak di antara RM80-RM90 juta setahun daripada eksport kanji sagu, Sarawak juga berharap menjadi sebuah negeri sisa sifar dalam industri tersebut, kata ketua pegawai eksekutif Crop Research and Application Unit (Craun) Research Sdn Bhd, Zaidell Hussaini.

Kata beliau, sagu merupakan salah satu komoditi pertanian utama yang menyumbang kepada hasil pendapatan Sarawak.

“Selaku pengeluar utama sagu di Malaysia, Sarawak mengeksport hasil kanji sagu bernilai di antara RM80 hingga RM90 juta setiap tahun,” kata Zaidell ketika berucap pada majlis Memorandum Persefahaman (MoU) diantara CRAUN Research Sdn Bhd and Knowledge Integrated Services Pte Ltd, Singapore (KISS) di sebuah hotel in sini hari ini.

Namun, jelas beliau, di sebalik sumbangan penting ini, masalah pencemaran alam sekitar yang berlaku akibat daripada aktitviti pemprosesan kanji sagu telah memberi imej dan kesan negatif kepada industri sagu.

“Bagi menangani isu ini, Craun telah diamanah oleh kerajaan Sarawak dan kerajaan pusat untuk membangunkan Projek Loji Rintis Bersepadu Rawatan Sisa Cecair Sagu sebagai jalan penyelesaian bersepadu menangani pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada sisa buangan sagu,” jelas beliau.

Menurut Zaidell, projek yang terletak di Kampung Tabo, Mukah tersebut telah beroperasi pada bulan Mei 2019.

“Loji rintis ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan juga yang pertama di kalangan negara-negara pengeluar kanji sagu dunia,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak yang telah memberi kepercayaan dan tanggungawab kepada Craun untuk membangunkan sebuah projek ‘pilot’ penyaliran biogas termurni yang terhasil dari sisa cecair sagu untuk kegunaan isi rumah iaitu gas memasak.

“Projek ini sebenarnya adalah cetusan ilham YAB Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) dan merupakan kesinambungan daripada projek loji rintis sisa rawatan cecair sagu yang telah beliau lancarkan pada 23hb November 2019.

“Biogas yang dijana oleh loji rintis ini akan dimurni dan seterusnya diedar sebagai sumber gas masak alternatif yang hijau, lestari dan lebih murah, berbanding gas komersil LPG, untuk kegunaan masyarakat luar bandar khususnya kepada penduduk di Kampung Teh dan Kampung Tabo di Mukah sebagai permulaan,” kata Zaidell.

Dua orang kakitangan Craun menunjukkan produk keluaran Craun di sebuah hotel in Kuching hari ini (19 Okt 2020).

Tambah beliau, projek tersebut juga merupakan sebuah projek pembangunan yang bertujuan untuk mencari penyelesaikan secara bersepadu kepada masalah pencemaran alam sekitar yang terkesan oleh industri sagu.

“Pihak kami telah memulakan penyelidikan berhubung sisa sagu ini sejak tahun 2003 lagi untuk memastikan industri ini akan terus lestari dari aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial serta sekaligus mampu menyumbang kepada kesejahteraan dan taraf hidup penduduk luar bandar.

“Kami maklum dan prihatin akan keluhan penduduk setempat khususnya kepada penduduk yang kebanyakannya bergantung kepada sungai sebagai sumber air, pendapatan dan pengangkutan.

“Projek ini nanti bertujuan untuk dijadikan sebagai satu contoh atau model untuk diadaptasikan oleh pengilang-pengilang sagu yang lain, demi untuk memastikan kelestarian industri sagu khususnya di Sarawak dan pada masa yang sama membangunkan industri ini ke arah sisa sifar,” tambah Zaidell. — DayakDaily