Covid-19 ujian getir kepimpinan Muhyiddin

Dr Awang Azman Awang Pawi

Oleh Peter Sibon

KUCHING, 30 Mac: Mengatasi Covid-19 merupakan ujian getir untuk Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata penganalisis politik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

“Krisis Covid-19 ini merupakan ujian getir bagi perdana menteri untuk membuktikan keupayaan kepimpinan beliau sama ada mampu menangani krisis ini dengan cemerlang, baik, sederhana atau gagal.


“Ia akan diukur bukan sahaja dari segi langkah menangani wabak Covid-19 dari segi kesihatan, akan tetapi dinilai dari segi impak dasar dan langkah ekonomi bagi memastikan ekonomi negara pulih.

“Yang penting ialah impak kepada kehidupan rakyat di negara ini tidak terjejas teruk yang memerlukan kerajaan membuat inisiatif yang lebih agresif dan berani menggunakan rizab negara untuk bantu rakyat,” kata Awang Azman hari ini.

Menurutnya, sekiranya Muhyiddin berjaya menangani krisis ini cemerlang, beliau akan diangkat sebagai “Bapa Penyelamat Negara” kerana berjaya menangani wabak covid 19, ekonomi negara dan seterusnya memberikan keyakinan rakyat bagi pemerintahan dan politik negara dan kritikan kerajaan pintu belakang akan lenyap.

“Namun jika gagal atau kurang berjaya beliau akan dihukum oleh rakyat, dikritik netizen dan kerajaan akan goyah dan kurang dapat bertahan.

“Apabila penggunaan wang KWSP dan langkah moratorium dilonggarkan, maka ramai B40 dapat manfaat walaupun ramai kurang menyedari kesan masa depan terhadap simpanan masa depan mereka dan tambahan tempoh masa bayaran apabila langkah moratorium digunakan,” jelasnya.

Awang Azman menjelaskan bahawa langkah ini memberikan kelegaan setengah golongan B40, namun sebahagian lagi terdapat golongan yang tidak mempunyai caruman Skim Simpanan Pekerja (KWSP) seperti peniaga kecil, pekerja sambilan, petani, nelayan, peladang, penoreh getah persendiriaan.

“Golongan inilah yang patut kerajaan berikan perhatian sekarang kalau tidak akan berhadapan penolakan rakyat daripada sumber golongan utama penyokong perikatan nasional ini. Fokus kepada golongan tanpa KWSP ini ialah salah satu sumber yang perlu ditangani kerajaan,” katanya.

Tambahnya lagi, Muhyiddin perlu meningkatkan momentum golongan perniagaan kecil dan sederhana yang kini terjejas teruk dan sukar bangkit jika berterusan tanpa campur tangan daripada tindakan dan dasar kerajaan akibat krisis Covid-19.

“Langkah berani seperti peningkatan tempoh moratorium kepada setahun, memberikan diskaun pembayaran cukai membantu merangsangkan pertumbuhan ekonomi.

“Pada masa sekarang sikap golongan kelas menengah lebih berhati-hati dalam memberikan rating usaha menangani wabak ini melalui pakej rangsangan ekononomi. Bagaimanapun ramai menyokong langkah moratorium disokong walaupun akan memanjangkan tempoh hutang mereka.

“Langkah pengeluaran KWSP pula dianggap fleksibel walaupun membawa kepada penyusutan simpanan masa depan mereka dan rakyat rata-rata tak ada pilihan dalam keadaan krisis sekarang.

Namun ramai golongan awam sedar langkah ini tanpa melibatkan wang kerajaan, sebaliknya melibatkan wang poket rakyat sendiri,” kata Awang Azman.

Sementara itu, beliau menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (Prihatin) yang bernilai RM250 bilion yang diumumkan Muhyiddin Jumaat lepas (27 Mac).

“Sekilas pandang ia merupakan satu jumlah yang besar dan menyeluruh. Namun jumlah suntikan fiskal atau suntikan kewangan sebenarnya adalah berjumlah RM25 bilion sahaja.

“Selebihnya ialah dalam bentuk lain yang dikenali sebagai monetari yang berbentuk moratorium yang diumumkan oleh Bank Negara bagi penangguhan bayaran pinjaman bank yang dianggarkan RM100 bilion, penggunaan wang KWSP sendiri bernilai RM40 bilion, puluhan bilion lagi daripada penggunaan sumber awam dan swasta yang sedia ada.

Jelas Awang Azman, secara keseluruhan golongan pekerja yang banyak menikmati hasil ini termasuk golongan M40 dan B40, sebagaimana dialami oleh “makcik Kiah” yang disebut oleh perdana menteri, yang menikmati penangguhan pinjaman selama 6 bulan, kemudahan pengeluaran wang KWSP maksimum RM600 sebulan hingga 6 bulan, mendapat bantuan kerajaan mengikut isi jumlah pendapatan di antara RM4,000-RM8,000 akan mendapat RM1,000 one-off, manakala isi pendapatan RM4,000 ke bawah akan mendapat RM1,600.

Bagi penjawat awam juga mendapat RM500 secara one-off manakala penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) pula sejumlah tertentu.

“Sudah pasti ini dilihat banyak menguntungkan pekerja walaupun pada hakikatnya pekerja menggunakan wang mereka sendiri melalui Skim Simpanan Pekerja. Walaupun penangguhan 6 bulan bayaran pinjaman, rakyat tetap menanggung bayaran faedah yang dikenakan oleh bank.”

Kata Awang Azman, dalam waktu krisis dan wabak Covid-19 ini rakyat tidak banyak pilihan dan banyak keperluan dan wang diperlukan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan ini. Jadi ini merupakan yang pilihan terbaik bagi rakyat setakat ini. — DayakDaily