Covid-19: Posa cadang FAM batal semua perlawanan Liga Malaysia

Datuk Posa Majais

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, April 2: Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais tampil dengan cadangan agar Liga Malaysia (Liga-M) pada tahun ini dibatalkan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilanjutkan selepas April 14 ini.

Menurut beliau, penangguhan liga ketika ini memaksa banyak perubahan jadual perlawanan yang memberi kesan kepada persiapan pasukan-pasukan bertanding.


Katanya, saingan liga juga akan mengambil tempoh lama untuk berakhir jika ditangguhkan lagi dan akan menjejaskan persiapan semua pasukan untuk menghadapi kejohanan lain anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Namun paling dikhuatiri kata Posa, risiko untuk pemain, pegawai termasuk penyokong dijangkiti Covid-19 jika saingan liga masih diteruskan juga.

“Kita tidak tahu samada kita telah benar-benar bebas dari wabak ini walaupun selepas pembatalan PKP. Situasi ini amat memberi risiko kepada pasukan lebih-lebih lagi kepada kita yang terpaksa pergi ke semenanjung dan mereka juga terpaksa datang ke sini.

“Malah saya pasti, penyokong juga enggan untuk datang ke stadium menyaksikan perlawanan kerana bimbang wabak ini belum bersih sepenuhnya.

“Justeru itu sebagai jalan selamat, saya mencadangkan agar perlawanan Liga Malaysia pada tahun ini dibatalkan jika PKP masih dilanjutkan selepas 14 April ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Meskipun sedar pembatalan itu akan memberi banyak impak kepada pemegang taruh, pasukan yang bertanding dan para pemain, namun Posa melihat ia perlu dilakukan demi kebaikan semua.

Katanya, malah badan bolasepak dunia, Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) juga enggan mengambil risiko dengan menangguhkan penganjuran EURO 2020 ke tahun hadapan kerana bimbang penularan wabak Covid-19.

Menurut Posa, beliau akan membawa usul berkenaan kepada pihak FAM jika PKP dilanjutkan selepas April 14 nanti.

Ditanya samada FAS akan menurut jejak beberapa pasukan lain dengan memotong gaji pemain, Posa berkata keputusan mengenainya akan dibuat selepas April 14 nanti.

“Kita telah berbincang mengenai perkara ini dan mungkin akan mengambil langkah sama jika kerajaan pusat melanjutkan tempoh PKP.

“FAS akan mengadakan pertemuan dengan semua pemain untuk memaklumkan mengenainya namun setakat ini gaji pemain masih dibayar seperti biasa,” katanya lagi. — DayakDaily