Covid-19: PKP dilanjutkan sehingga April 14

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

KUCHING, Mac 25: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga April 14, 2020.

Dalam satu perutusan khas di Putrajaya, beliau berkata keputusan dibuat berdasarkan ‘trend’ semasa menunjukkan kes-kes positif Covid-19 yang baharu masih berlaku.

“’Trend’ ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun.


“Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh masa yang lebih lama,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, tempoh kuatkuasa perintah ini akan dikaji dari semasa ke semasa.

Pada Mac 16 lepas, Muhyiddin telah mengumumkan pelaksanakan PKP mulai Mac 18 hingga 31 di seluruh negara.

Pelaksanaan PKP dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Perintah kawalan pergerakan ini membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Sehingga hari ini, jumlah keseluruhan kes kematian akibat wabak Covid-19 telah mencecah 17 kes dan jumlah kes positif meningkat kepada 1,796 kes.

Kes terbaharu kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar di Johor. — DayakDaily