Covid-19: Muhyiddin ulangi gesaan agar rakyat terus kekal di tempat masing-masing

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mac 25: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini sekali lagi menggesa rakyat agar terus kekal di tempat masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga April 14.

Katanya, jika perintah ini tidak dipatuhi, maka ianya tidak akan membawa apa-apa kesan positif dan segala tindakan kerajaan akan menjadi sia-sia.


“Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana.

“Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu.

“Pejabat-pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka lagi. Jika ada perkara penting yang nak diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak menguruskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas Hari Kelapan pelaksanaan
PKP di Putrajaya hari ini.

Pada perutusan itu, Muhyiddin turut menggesa rakyat agar tidak panik walaupun tempoh PKP telah dilanjutkan sehingga April 14.

Katanya, rakyat tidak perlu bimbang berhubung bekalan keperluan asas kerana ia dijamin mencukupi untuk semua.

“Saya memahami bebanan anda semua tetapi saya tiada pilihan. Saya terpaksa melanjutkan tempoh PKP demi keselamatan semua.

“Selain itu, tempoh kuatkuasa perintah ini akan dikaji dari semasa ke semasa. Jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, saya akan buat pengumuman mengenainya.

“Yang penting saya mohon supaya saudara-saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar kerana Covid-19 adalah sejenis wabak yang tidak pernah Malaysia hadapi sebelum ini.

Menurut beliau, tiada yang menjangkakan bahawa kehidupan akan berubah dengan sekelip mata hanya kerana sejenis wabak yang menular bukan sahaja di tempat kita, tetapi di seluruh dunia.

Kadar jangkitan, katanya, begitu cepat dan hari ini seramai 422,829 orang telah dijangkiti wabak ini di seluruh dunia dengan 18,907 kematian.

“Di negara kita, daripada kes pertama jangkitan Covid-19 dikesan, sehingga jam 12 tengahari ini jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baharu pada hari ini.

“Tujuh hari yang lalu, jumlah keseluruhan kes Covid-19 ialah 673 kes. Ini bermakna, kes positif Covid-19 telah meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya satu minggu.

“Jumlah kematian juga telah meningkat kepada 17 orang termasuk seorang doktor,” ujar Muhyiddin. — DayakDaily