Contohi semangat Bawang Lusang, 97, tampil terima suntikan vaksin

Kelihatan Bawang selepas menerima suntikan vaksin.

KUCHING, 9 Mei: Masyarakat harus mencontohi semangat ditonjolkan Bawang Lusang, penerima vaksin tertua di Belaga kerana sanggup tampil untuk menerima suntikan vaksin.

Pada usia 97 tahun, Bawang tetap menggagahi dirinya untuk hadir di klinik sambil ditemani cucu beliau demi mendapatkan suntikan tersebut.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Bawang antara 140 warga emas dari seluruh Belaga termasuk dari Daerah Kecil Sungai Asap yang telah tersenarai untuk menerima dos suntikan jenis Sinovac itu.


Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk warga emas di Daerah Belaga telah bermula pada Jumaat (7 Mei) bertempat di Klinik Kesihatan Daerah Belaga.

Program berjalan dengan lancar dan mengikut prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang telah ditetapkan.

Sementara itu, seorang lagi penerima vaksin, Hurang Lating (85 tahun) dari Uma Nyaving turut menggesa masyarakat untuk menerima vaksin kerana ia adalah untuk kebaikan dan keselamatan diri sendiri, keluarga dan juga untuk seluruh komuniti. — DayakDaily