Projek Tanaman Nanas Kelompok Kpg Mang pacu ekonomi Samarahan

Projek Tanaman Nanas Kelompok Kampung Mang, Kota Samarahan.

KUCHING, 9 Mei: Samarahan merupakan antara daerah pengeluar komoditi nanas di Sarawak yang mana penduduk tempatan telah mengusahakan tanaman tersebut dan salah satunya adalah di tanah Projek Tanaman Nanas Kelompok Kampung Mang, Kota Samarahan.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), projek tanaman nanas tersebut sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat terutamanya para pengusaha kebun nanas.

Pengusaha Kebun Nanas Kampung Mang Shafiee Jinta, merupakan antara peserta projek tanaman nanas tersebut, telah berkecimpung selama 10 tahun dan berjaya meningkatkan ekonomi keluarga serta memiliki pengalaman dalam bidang tersebut.


Menurut Shafiee, antara nanas yang diusahakan adalah nanas jenis Josephine, Sarikei, N36 dan yang terbaharu adalah MD2.

“Di tanah kebun nanas yang berkeluasan lima ekar ini, saya telah menggunakan penanaman nanas mengikut sistem iaitu kepadatan 57 hingga 58 jenis pokok nanas yang ditanam di kebun saya ini,” katanya.

Kata Shafie, hasil yang telah dikeluarkan telah mendapat permintaan yang baik oleh peraih iaitu sebanyak tiga kali seminggu dengan kuantiti sebanyak 1,000 biji nanas jenis gred A (RM5), B (RM4) dan C (RM3).

Selain daripada tanaman nanas, beliau juga mengusahakan produk nanas iaitu jus nanas segar, jem nanas dan biskut tart nanas.

Projek tanaman nanas di situ merupakan rancangan pihak Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Sarawak sebagai agensi pelaksana di tanah berkeluasan 51 ekar yang melibatkan seramai 23 peserta di kalangan penduduk Kampung Mang, Kota Samarahan.

Dalam pada itu, bukan hanya kebun nanas milik Shafiee Jinta yang berada di tapak projek tersebut kerana ia termasuk juga kebun nanas milik penduduk-penduduk kampung yang mampu menarik minat pengunjung luar datang ke kawasan tersebut.

Ia sekaligus berpotensi untuk dikembangkan sebagai salah satu hub agro-pelancongan yang mana peserta yang berminat akan dibawa melawat ladang nanas dan akan diajar proses penanaman nanas.

Kebun nanas di Kampung Mang juga sering menjadi lokasi yang dilawat oleh institusi-institusi pertanian dan penuntut daripada UITM dan UNIMAS. — DayakDaily