Contohi Sarawak bantu rakyatnya bayar balik pinjaman PTPTN, kata Ahmad Dasuki

Ahmad Dasuki (kanan) bertukar dokumen Memorandum persefaham dengan pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang sambil disaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,

KUCHING, 5 Mac: Usaha kerajaan Sarawak dalam membantu pelajarnya membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka wajar dijadikan contoh dan ikutan kerajaan negeri lain kata Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Hamid.

Katanya, inisiatif tersebut merupakan usaha yang proaktif kerana Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang bertindak sedemikan dengan memperuntukan jumlah yang besar untuk tujuan pendidikan tinggi rakyatnya.

Beliau berkata, usaha tersebut dilihat amat sesuai pada ketika pendapatan dan sumber kewangan rakyat di negara ini terjejas akibat penularan Covid-19.

“Sesunguhnya rakyat negeri Sarawak amat bertuah kerana mempunyai kerajaan yang prihatin dalam menyediakan keperluan rakyat terutamanyadari aspek kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Semoga perlaksanaan inisiatif ini dipermudahkan dan peminjam-peminjam yang merupakan anak-anak Sarawak yand terlibat menerima inisiatif ini dapat dibantu sekaligus mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis pertukaran Memorandum persefahaman antara Yayasan Sarawak dan PTPTN di sini hari ini.

Menerusi memorandum tersebut, kerajaan Sarawak akan menyalurkan sejumlah RM30 juta melalui Yayasan Sarawak bagi menyelesaikan 30 peratus  daripada baki hutang pinjaman PTPTN pelajar anak Sarawak yang telah pun membayar sebayak 30 peratus keseluruhan pinjaman mereka.

Ahmad Dasuki berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja sebagai menghargai komitmen pelajar terbabit membayar hutang pinjaman PTPTN mereka tetapi juga membantu dalam  meringankan beban kewangan ketika proses pembayaran balik pinjaman berkenaan.

Katanya,  sehingga 31 Disember 2020, PTPTN telah menyalurkan pinjaman kepada 195,350 peminjam yang merupakan anak Sarawak melibatkan peruntukkan berjumlah RM4.7 bilion.

Dalam tempoh tersebut, terdapat seramai 3,420 peminjam PTPTN anak Sarawak yang dikecualikan daripada membayar pinjaman mereka selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda kelas pertama yang melibatkan peruntukkan sebanyak RM88.7 juta.

Ahmad  Dasduki dalam pada itu, turut berharap kerajaan Sarawak akan terus menyokong usaha PTPTN dalam membudayakan pembayaran balik pinjaman oleh peminjam-peminjam tabung pendidikan itu.

Ini kerana menurut beliau, usaha tersebut bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada mereka yang terlibat tetapi juga menyumbang kepada kelangsungan dana pembiayaan PTPTN kepada generasi akan datang. — DayakDaily