ADUN Batu Kitang gesa rakyat terus sokong kerajaan GPS

Lo (dua dari kanan) menyerahkan Kenyalang Gold Card kepada salah seorang penerima di pejabat SUPP Cawangan Batu 10 hari ini. (2 Ogos, 2020)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 Ogos: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang menggesa rakyat untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, GPS sentiasa memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan kehidupan dan pendapatan rakyat.


Sebagai contoh katanya, setiap ADUN diberi peruntukan sebanyak RM5 juta setahun untuk melaksanakan program pembangunan dan bantuan di kawasan masing-masing.

“Selain itu, menerusi program fasilitasi pertanian yang diperkenalkan pada tahun ini, setiap ADUN ada peruntukan RM1 juta untuk membantu pekebun-pekebun kecil.

“Melalui program ini, setiap pekebun diberikan bantuan maksima RM5,000 untuk projek tanaman cili, sayur, durian, menternak ayam serta ikan. Ia juga boleh digunakan untuk membina jalan ke kebun.

“Untuk penduduk rumah panjang pula, kerajaan menyediakan bantuan berupa pinjaman tanpa faedah berjumlah RM50,000 kepada setiap keluarga untuk tujuan bina semula rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis simbolik penyerahan Kenyalang Gold Card di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu 10 hari ini.

Oleh sebab itu, Lo menyeru semua untuk terus menyokong GPS kerana ini adalah perkara-perkara positif yang ketua menteri dan GPS lakukan untuk meningkatkan kehidupan dan pendapatan rakyat.

“Bantuan baik pulih rumah untuk keselasaan keluarga selain program bantuan pertanian untuk meningkatkan pendapatan adalah perkara yang diutamakan,” katanya.

Dalam pada itu, Lo berkata SUPP Cawangan Batu 10 telah mendaftar lebih 400 warga emas sebagai pemegang Kenyalang Gold Card (KGC).

Katanya, KGC adalah sesuatu yang bernilai kerana ia memberi banyak kemudahan kepada pemegang kad tersebut.

“Kad ini membolehkan warga emas di Sarawak menikmati pelbagai keistimewaan dan diskaun ketika membeli barangan dan menggunakan perkhidmatan tertentu.

“Jika berlaku kematian, waris pemegang KGC akan diberi RM3,000 melalui pemberian bantuan ihsan kematian dan ini adalah sebab saya berpendapat bahawa kad ini sangat bernilai,” ujar Lo.

Pada majlis tersebut 10 warga emas telah menerima kad masing-masing sebagai simbolik penyerahan dan selebihnya akan dipanggil untuk menuntut kad tersebut.-DayakDaily.