Dasar Yayasan Sarawak akan digunapakai bantu pelajar Sarawak langsai baki pinjaman PTPTN

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 5 Mac: Dasar yang digunapakai oleh Yayasan Sarawak dalam menyalurkan bantuan pendidikan sama ada dalam bentuk pinjaman atau biasisawa akan digunakan untuk meyelaraskan proses bayararan balik baki pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajar Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu bagi mengelakkan berlaku sebarang pertindihan syarat antara pelajar dibawah Yayasan Sarawak atau PTPTN dalam urusan pembayaran balik pinjaman mereka.

“Sebab itu saya mengambil keputusan agensi yang menyelaraskan ini adalah Yayasan Sarawak supaya dasarnya adalah dasar yang lebih kosisten dan adanya kerjasama bergini saya percaya kita boleh menyelesaikan apa juga isu berbangkit yang dihadapi oleh pelajar-pelajar anak Sarawak yang mempunyai pinjaman PTPTN,” katanya pada sidang media penyerahan Memorandum Persefahaman anatara Yayasan Sarawak dengan PTPTN di sini hari ini.


Beliau berkata, bagi tujuan berkenaan kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan RM30 juta untuk membantu para pelajar di negeri ini membayar balik pinjaman PTPTN yang tertunggak.

Katanya, inisiatif tersebut dilaksanakan selepas beliau mendengar rintihan pelajar-peljar Sarawak yang menghadapi masalah dalam menyelesaikan pinjaman PTPTN mereka ketika satu sesi dialog ketika program Lan Berambeh bersama pelajar Sarawak pada 2019.

“Oleh itu saya kata, bagi anak-anak Sarawak saya akan cari jalan dan alhamdulliah kita pada mulanya memberikan peruntukkan RM30 juta  dalam bajet negeri 2021 lepas dan ia akan dilaksanakan mengikut cara Yayasan Sarawak,” katanya.

Abang Johari berkata, menerusi peruntukan terbabit, ia diharap dapat meringan bebanan yang ditanggung oleh pelajar Sarawak dalam membayar balik pinjaman PTPTN mereka.

Katanya, pemberian insentif tersebut akan membantu pelajar menyelesaikan 30 peratus daripada baki hutang mereka dengan PTPTN yang melibatkan 9,634 pelajar anak Sarawak. — DayakDaily